Dilema seorang aku

Banyak yang ingin diperkatakan, diluahkan, dihuraikan dan dicatatkan apa yang berlaku sepanjang hari dalam hidup ini. Cuma waktu yang tidak mengizinkan untuk saya terus melakar rentetan hidup seharian. Yang pastinya esok merupakan hari yang penuh mendebarkan, final exam bagi semesta 2, sesi 2009/2010. Kalut di hati siapa yang tahu. Masa terlalu pantas berlalu, dari awal semesta lagi saya cuba untuk mengulangkaji subjek-subjek yang dipelajari, tapi janji di hati tidak sama dengan apa yang tertunai. 24 jam sehari bagaikan tidak cukup..bukan tidak bersyukur dengan rahmat Allah yang memberikan ruang untuk bernafas, tapi itulah hakikatnya masa terlalu mencemburui.

Inilah rutin kehidupan saya...Pagi seawal jam 4.30 subuh lagi saya sudah bangun menyiapkan diri dan anak-anak untuk ke sekolah dan taska. Selesai tugas menghantar anak-anak barulah masuk ke pejabat. Jam 12.30 keluar semula menjemput anak balik dari sekolah, bawa makan tengahari dan kemudian menghantar ke kelas tambahan. Petang sekembali dari pejabat bergegas lagi ke menjemput anak di kelas tambahan dan putera bungsu yang kini berusia 1 tahun dari taska. Setiap kali melihat dan menatap kecomelan wajahnya cukup membuatkan segala kemarahan dan kepenatan saya hilang.

Setiba di rumah sekitar jam 6.00 atau 6.30 petang sibuk lagi di dapur, urus anak-anak dan suami, cuci pakaian, kemas rumah, seterika pakaian untuk esok dan macam-macam lagi...Sekitar jam 10.00 atau 11.00 malam setelah semua urusan rumah siap diselesaikan dan anak-anak sudah tidur barulah ada masa untuk diri sendiri. Pun begitu kekadang kepenatan yang amat sangat membuatkan saya terlena dihadapan meja komputer ketika membuat tugasan pengajian di UMS. Malahan kadang-kadang terpaksa bersengkang mata hingga ke pagi menyiapkan tugasan. Bukan suami tidak membantu, tapi saya memahami kadang-kadang dia juga sibuk dengan kerjayanya, outstation dan macam-macam lagi. Hujung minggu pula terpaksa dikorbankan masanya menjadi 'househusband' bagi menjaga anak-anak ketika saya pergi kuliah. Seawal jam 7.30 pagi setiap hujung minggu saya sudah menggalkan rumah untuk pergi kuliah dan jam 6 petang baru balik ke rumah. Sukar untuk saya katakan bagaimana beratnya hati setiap kali meninggalkan anak-anak dan suami di rumah. Sesekali bila bersendirian memandu dai rumah ke UMS terfikir juga apakah semua ini berbaloi saya lakukan. Tapi apakan daya demi masa depan yang lebih baik terpaksa saya korbankan masa dan saat-saat berharga saya bersama meraka.

Untuk suami dan anak-anak yang tersayang, terima kasih kerana pengorbanan kalian yang begitu memahami kesibukan mama. Tanpa pemahaman dan dan pengertian daripada kalian tidak mungkin mama dapat melalui semua ini dengan tenang. Kalian adalah segalanya, kesabaran dan pengertian kalian adalah inspirasi mama untuk terus tabah dan sabar menghadapi segala kepayahan dalam hidup ini. Doakan moga-moga mama dapat menjawap exam esok dengan tenang dan dapat melangsaikan pengajian hingga ke akhir semesta.

Salam sayang teristimewa untuk kalian.

BATIK YANG KIAN MENYERLAH

Sejak dari zaman dahulu lagi ia memainkan peranan yang amat penting khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Dalam amalan biasa kain batik semimangnya menjadi pakaian utama kepada kaum wanita khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Batik terdiri daripada kain batik sarung dan kain batik panjang yang juga sinonim dengan panggilan kain batik lepas di kalangan masyarakat di Sabah.

Kain batik sarung sering dipadankan dengan baju kurung Kedah atau kurung biasa ataupun kebaya labuh, sementara batik panjang pula selalunya dipakai bersama baju kebaya singkat. Si pemakai akan kelihatan manis dan sopan sekali ketika menggayakan batik serba lengkap ini. Dalam kehidupan masyarakat Melayu Terengganu atau Kelantan pula, kain batik sering digunakan sebagai tenggolok di kalangan kaum lelaki semasa temasya silat dalam majis perkahwinan dan sumpamanya.

Lazimnya kain batik mempunyai pelbagai corak dan warna yang menarik. Pembuat batik menggunakan dua kaedah penghasilan batik iaitu batik cetak dengan menggunakan alat pencetak khas bagi menghasilkan corak yang serupa. Manakala kaedah kedua perlu menerapkan unsur-unsur seni dalam lukisan batik di mana corak batik ini dilukis sendii dengan tangan yang juga dikenali sebagai batik canting.

Batik canting lazimnya mempunyai corak yang berbeza bagi setiap batik yang dihasilkan berbanding batik cetak yang mempunyai corak yang sama. Keunikan dan keindahan batik canting menyebabkan permintaan terhadap batik ini semakin tinggi di kalangan para penggemar batik. Namun keindahan corak batik cetak juga tudak dinafikan cantiknya.

Pada hari ini batik mempunyai fungsinya yang tersendiri iaitu selain daripada dipakai oleh masyarakat Malaysia, batik kini telah menembusi pasaran antarabangsa sebagai salah satu perniagaan yang mampu menjana ekonomi negara. Sebagai langkah untuk menghidupkan industri batik negara, kerajaan telah membuat ketetapan supaya batik dipakai pada setiap hari Khamis di kalangan penjawat awam kerajaan semasa pergi ke pejabat. Syarat serupa turut digunpakai di sekolah-sekolah dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Selain itu batik sering digunakan pada majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan seperti majlis jamuan makan malam, majlis-majlis perasmian tertentu ataupun majlis meraikan kunjungan para pembesar negara. Dengan pendekatan ini dapat dilihat bagaimana besarnya peranan batik di kalangan masyarakat bukan sahaja kepada orang Melayu malah ia turut dipakai oleh semua kaum di Malaysia selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang diketengahkan pada hari ini. Keunikan ini turut dikongsi bersama oleh para pelancong yang turut menyarungkan batik ketika berada di negara ini. Malah fungsi batik semakin berkembang apabila para pelancong yang datang menjadikan batik sebagai hadiah kepada sanak saudara dan rakan-rakan di negara mereka.

Justeru, tidak mustahil suatu hari nanti batik mampu bertapak kukuh di persada antarabangsa denga pelbagai fungsi dan kegunaannya.

by,
Ainah.

Rencana

Kerakusan Media Massa Merencatkan Sistem Pendidikan

“Mama kenapa dalam televisyen tu lelaki dan perempuan ditangkap sebab berada dalam satu bilik? Mama dan papa berada sama-sama dalam satu bilik tak kena tangkap pun.” Tanya seorang anak kecil dengan penuh rasa ingin tahu ketika ikut menonton berita yang dipaparkan melalui salah sebuah stesyen televisyen arus perdana negara.

Si ibu dan si ayah terkedu mendengar soalan yang lahir dari bibir comel seorang anak kecil yang baru saja menjejakkan kaki ke alam pra sekolah. Itulah realiti hidup zaman sekarang, zaman ledakan teknologi maklumat. Didikan anak-anak di rumah seolah-olah memburukkan lagi keadaan apabila apa yang diterapkan ibu bapa bertentangan dengan apa yang dipertontonkan oleh media massa kepada anak-anak saban hari.

Jika dipandang dari satu sudut, sikap ingin tahu anak-anak terhadap apa yang dilihat di persekitaran mereka semimangnya satu perkembangan minda yang baik. Namun dari satu sudut yang lain pula, persoalan yang mereka lontarkan ada kalanya sukar untuk diberi penjelasan. Ini kerana dalam usia semuda itu mereka seharusnya diperdengar dan dipertontonkan sesuatu yang boleh menjana pemikiran mereka kearah yang lebih positif.

Tidak dinafikan media massa seperti televisyen, radio, internet, akhbar dan majalah merupakan salah satu wadah pendidikan yang mengajar kita melalui pelbagai agenda di sebalik paparan yang disajikan. Keberkesanan menanam keyakinan dalam menyampaikan sebarang bentuk pengetahuan kepada golongan massa memang tidak dapat disangkal. Namun, sayang sekali apa yang disajikan media massa pada hari ini lebih cenderung kepada elemen-elemen yang menjadi pemangkin kepada keruntuhan moral dan akhlak anak-anak.

Filem-filem yang mempertontonkan budaya barat dan gejala sosial diberi ruang yang cukup besar semata-mata ingin mengaut keuntungan atas kehebatan aksi-aksi samseng serta kegagahan pelanggar salah laku undang-undang. Slogan-slogan berbaur kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negara selepas kemerdekaan mengisi hampir setiap ruang media massa, sehingga masyarakat benar-benar percaya bahawa negara telah mencapai satu tahap kehidupan yang memuaskan. Hakikatnya mereka tidak dapat melihat dengan mata hati, sesungguhnya apa yang disajikan umpama makanan lazat yang mampu mengundang pelbagai penyakit.

Apakah pengajaran yang benar-benar dapat dijadikan asas kehidupan oleh para penonton, pendengar dan pembaca media massa? Adakah dengan mengetengahkan isu gejala sosial secara berleluasa dapat memberi kesedaran yang benar-benar meresap ke dalam jiwa anak-anak muda sehingga memberi keinsafan dan rasa takut untuk melakukan gejala tidak sihat? Tepuk dada, tanyalah selera.

Separuh hari yang dilalui murid-murid di sekolah bagi memahami erti ilmu serta hakikat kehidupan, bagai dinafikan peranannya lantaran lambakan kesesatan hasil dakyah pihak media. Pendidikan agama dan moral dalam pembelajaran di sekolah bagaikan tidak memberi kesan positif. Iklan-iklan serta drama-drama sering kali memperlihatkan kepada anak-anak muda bahawa erti kehidupan terletak kepada wang ringgit, kemewahan dan taraf hidup yang tinggi semata-mata. Malah lebih menyedikan lagi apabila gejala pembuangan bayi, lepak, merokok dan ponteng sekolah semakin menjadi-jadi di kalangan remaja hari ini.

Fenomena ini amat bertentangan dengan sistem pembelajaran di sekolah yang memberi keutamaan pada keseimbangan dari aspek mental, fizikal mahupun spiritual. Tatkala guru di sekolah berhempas pulas mendidik anak murid agar menjadi anak bangsa yang mempunyai jati diri, ada ‘guru’ di luar sekolah yang membangsatkan anak murid! Ianya merupakan satu pembaziran kerana anak-anak ini merupakan aset yang bakal mewarisi kesinambungan pembangunan negara.

Amalan media massa yang hanya mementingkan rating program yang disajikan sehingga sanggup menyelitkan unsur-unsur negatif sebagai pelaris, merupakan taktik kotor yang meracuni minda anak-anak. Sedar atau tidak, pastinya warga pendidik mahupun ibu bapa terpaksa menempuh laluan sukar dalam membentuk modal insan di kalangan anak-anak lantaran kerakusan media massa menyumbat minda mereka terlebih dahulu dengan anasir-anasir negatif. Menyedari hakikat ini, maka tugas para guru tentunya menjadi lebih berat lagi.

Pencegahan di peringkat awal sewajarnya dilakukan bagi mengekang kebiadapan media massa yang merencatkan pencapaian kecemerlangan pendidikan. Namun, atas campur tangan politik, pengaruh wang dan kepentingan pihak tertentu kebejatan ini dengan rasminya ‘dihalalkan’ untuk terus bertapak kukuh dalam media massa. Senario seumpama ini juga jika dibiarkan tidak mustahil akan mewujudkan kepincangan dalam masyarakat yang boleh merugikan negara.


By,
Ainah.

Penyakit Jantung Koronari

Apa Yang Anda Tahu Mengenai Penyakit Jantung
Koronari

Kini penyakit jantung koronari bukan sahaja satu penyakit yang dihidapi orang tua. Malah ianya turut dihidapi oleh golongan muda yang kebanyakannya berpunca daripada tekanan kerja. Tekanan Kerja berpanjangan menyebabkab kesan berikut;

a. 68 % pekerja muda cenderunng untuk mengidap penyakit jantung.
b. 1 daripada 3 orang lelaki berpaling kepada tabiat tidak sihat seperti merokok, mengambil alkohol dan sebagainya.
c. 68% daripada pekerja kolar putih meninggal dunia di usia muda atau menderita sakit jantung yang tidak membawa maut atau mula mengalami angina (sakit dada).

Penyebab utama;
a. Pemakanan – makan diluar (makanan tinggi lemak tepu)
b. Kurang mengambil sayuran dan buah-buahan segar yang tidak mengandungi baja kimia.
c. Gaya hidup – kurang senaman dan kurang aktif secara fizikal.
d. Eskapisme – merokok/dadah/alkohol dan sebagainya.

Tekanan kerja yang tidak ditangani di samping pelbagai aktiviti tidak sihat yang disenaraikan di atas boleh meningkatkan risiko meningkatnya berat badan, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi jantung dan sebagainya. Menurut John P. Cooke, M.D., Ph. D., ketua unit vaskular Universiti Stanford, masalah kesihatan seperti ini boleh mengakibatkan erosakan endotelium (lapisan sel nipis di permukaan dalaman saluran darah). Endotelium yang rosak tidak dapat menghasilkan Nitrik Oksida (NO) dengan secukupnya dan boleh menjejaskan kesihatan kardiovaskular yang teruk serta boleh membawa maut.

Sumber;

Laporan BBC 2006.

Lift Me Up

The man who promises everything is sure to fulfill nothing, and everyone who promises too much is in danger of using evil means to carry out his promises, and is already on the road to perdition.

Promise too much and you'll have plenty of room to fail. Promise little and you'll have plenty of room to excel.

We cannot live for ourselves alone. Our lives are connected by a thousand invisible threads. Along these sympathetic fibers, our actions run as causes and return to us as results.

For every life, there is a flow. The more you ask, the more you'll know. The morw you give, the more you'll grow.
Budaya Blog

Kebebasan bersuara merupakan antara hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan negara seperti yang diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 10. Kebebasan bersuara umpama senjata yang berfungsi dua, untuk kebaikan atau keburukan. Budaya blog, kehadirannya bagaikan satu gelombang globalisasi yang memberikan kebebasan perkongsian maklumat tanpa btasan. Bagi golongan muda khususnya, menghabiskan masa dalam dunia maya begitu mengasyikkan dan menyeronokkan sekali. Eksplorasi baharu dunia maya inilah yang menjadi kegilaan masyarakat mutakhir ini.
Blog dicipta dengan pelbagai sifat dan tujuan misalnya sebagai catatan peribadi, liputan berita dan kupasan pelbagai isu. Di samping itu, blog yang bersifat spesifik juga tidak kurang banyaknya, seperti blog yang berkaitan dengan sukan, fotografi, hiburan, kesenian dan sebagainya. Lazimnya blogger akan memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk memberi komentar terhadap isu yang diketengahkan. Justeru itu, keadaan ini tentunya memberi peluang dan ruang untus semua orang berkongsi pendapat dengan dunia luar. Malah, kewujudan blog juga berupaya menjadi medium yang tidak kurang pentingnya dalam menyampaikan mesej dan maklumbalas daripada sesiapa sahaja.

Masyarakat hari ini ramai yang menyedari perkembangan blog merupakan satu akses terbaru untuk meluahkan suara sebagai seorang warganegara yang merdeka. Namun ianya dibayangi dengan faktor kepercayaan terhadap integriti media yang dianggap tidak mempunyai kebebasan. Media pada hari ini dianggap berpihak kepada kuasa autoriti. Sejauh manakah kebenarannya? Media sewajibnya bersifat telus, berkecuali dan meneruskan perjuangan bangsa yang merdeka. Senario sebegini memungkinkan masyarakat dunia memilih blog sebagai alternatif terbaik untuk meluahkan suara yang 'dikatakan tanpa sekatan'.

Penyalahgunaan blog dengan menyentuh isu-isu secara keterlaluan, mengaibkan dan sentimen perkauman yang semakin ketara mutakhir ini sewajarnya diambil perhatian. Kepesatan pekembangan telekomunikasi tidak akan memberi erti andainya ia akhirnya mewujudkan ketidaktenteraman, permusuhan dan perpecahan di kalangan masyarakat. Pelaksanaan Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya diharap mampu memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

by,
ainah.
Diri Penentu Kejayaan:

Melakar kejayaan dalam karier yang diceburi semimangnya menjadi impian setiap orang. Pun begitu, untuk mencapai kejayaan dalam hidup, usia bukanlah jadi kayu pengukur. Ada orang yang mampu mengecapi kejayaan di usia remaja lagi dan ada pula yang terpaksa menunggu sehingga usia mencecah separuh abad. Lebih indah lagi kadang kala, ada yang sudah berjaya bergelar jutawan seawal usia kanak-kanak lagi. Malah ada kalanya kejayaan itu mampu mengatasi pencapaian yang diraih oleh golongan dewasa.

Namun untuk bergelar insan yang berjaya, bukanlah semudah kata dan seindah bahasa sahaja. Paling tidak kita terpaksa menempuhi pelbagai cabaran. Dalam setiap profesyen yang dicebur pasti ada sahaja rencah yang harus diharungi. Diperlekehkan, dihina, dikecam dan sebagainya merupakan asam garam yang harus ditelan sepanjang kehidupan. Kata orang, sikap rajin dan amanah disulami dengan kejujuran, keikhlasan dan kecekalan hati adalah kunci pada kejayaan. Keyakinan dan kepercayaan kepada diri sendiri juga merupakan kriteria penting untuk meraih kejayaan hidup.

Zaman juga sudah semakin berubah. Persaingan semakin hebat, cabaran semakin hangat, kejayaan bagaikan dihambat demi kelangsungan hidup. Pasti sekali, tiada siapa yang kebal dari dirempuh badai kehidupan. Kekuatan mental, fizikal, rohani dan emosi mungkin mampu menjadi perisai untuk memagari diri. Apa yang pasti selagi jantung masih berdegup, selagi nadi masih berdenyut perjuangan hidup harus diteruskan. Kejayaan adalah milik sesiapa saja. Sikap diri adalah penentu segalanya.

by,
ainah