Diri Penentu Kejayaan:

Melakar kejayaan dalam karier yang diceburi semimangnya menjadi impian setiap orang. Pun begitu, untuk mencapai kejayaan dalam hidup, usia bukanlah jadi kayu pengukur. Ada orang yang mampu mengecapi kejayaan di usia remaja lagi dan ada pula yang terpaksa menunggu sehingga usia mencecah separuh abad. Lebih indah lagi kadang kala, ada yang sudah berjaya bergelar jutawan seawal usia kanak-kanak lagi. Malah ada kalanya kejayaan itu mampu mengatasi pencapaian yang diraih oleh golongan dewasa.

Namun untuk bergelar insan yang berjaya, bukanlah semudah kata dan seindah bahasa sahaja. Paling tidak kita terpaksa menempuhi pelbagai cabaran. Dalam setiap profesyen yang dicebur pasti ada sahaja rencah yang harus diharungi. Diperlekehkan, dihina, dikecam dan sebagainya merupakan asam garam yang harus ditelan sepanjang kehidupan. Kata orang, sikap rajin dan amanah disulami dengan kejujuran, keikhlasan dan kecekalan hati adalah kunci pada kejayaan. Keyakinan dan kepercayaan kepada diri sendiri juga merupakan kriteria penting untuk meraih kejayaan hidup.

Zaman juga sudah semakin berubah. Persaingan semakin hebat, cabaran semakin hangat, kejayaan bagaikan dihambat demi kelangsungan hidup. Pasti sekali, tiada siapa yang kebal dari dirempuh badai kehidupan. Kekuatan mental, fizikal, rohani dan emosi mungkin mampu menjadi perisai untuk memagari diri. Apa yang pasti selagi jantung masih berdegup, selagi nadi masih berdenyut perjuangan hidup harus diteruskan. Kejayaan adalah milik sesiapa saja. Sikap diri adalah penentu segalanya.

by,
ainah

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

0 comments:

Post a Comment