Rencana

Kerakusan Media Massa Merencatkan Sistem Pendidikan

“Mama kenapa dalam televisyen tu lelaki dan perempuan ditangkap sebab berada dalam satu bilik? Mama dan papa berada sama-sama dalam satu bilik tak kena tangkap pun.” Tanya seorang anak kecil dengan penuh rasa ingin tahu ketika ikut menonton berita yang dipaparkan melalui salah sebuah stesyen televisyen arus perdana negara.

Si ibu dan si ayah terkedu mendengar soalan yang lahir dari bibir comel seorang anak kecil yang baru saja menjejakkan kaki ke alam pra sekolah. Itulah realiti hidup zaman sekarang, zaman ledakan teknologi maklumat. Didikan anak-anak di rumah seolah-olah memburukkan lagi keadaan apabila apa yang diterapkan ibu bapa bertentangan dengan apa yang dipertontonkan oleh media massa kepada anak-anak saban hari.

Jika dipandang dari satu sudut, sikap ingin tahu anak-anak terhadap apa yang dilihat di persekitaran mereka semimangnya satu perkembangan minda yang baik. Namun dari satu sudut yang lain pula, persoalan yang mereka lontarkan ada kalanya sukar untuk diberi penjelasan. Ini kerana dalam usia semuda itu mereka seharusnya diperdengar dan dipertontonkan sesuatu yang boleh menjana pemikiran mereka kearah yang lebih positif.

Tidak dinafikan media massa seperti televisyen, radio, internet, akhbar dan majalah merupakan salah satu wadah pendidikan yang mengajar kita melalui pelbagai agenda di sebalik paparan yang disajikan. Keberkesanan menanam keyakinan dalam menyampaikan sebarang bentuk pengetahuan kepada golongan massa memang tidak dapat disangkal. Namun, sayang sekali apa yang disajikan media massa pada hari ini lebih cenderung kepada elemen-elemen yang menjadi pemangkin kepada keruntuhan moral dan akhlak anak-anak.

Filem-filem yang mempertontonkan budaya barat dan gejala sosial diberi ruang yang cukup besar semata-mata ingin mengaut keuntungan atas kehebatan aksi-aksi samseng serta kegagahan pelanggar salah laku undang-undang. Slogan-slogan berbaur kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negara selepas kemerdekaan mengisi hampir setiap ruang media massa, sehingga masyarakat benar-benar percaya bahawa negara telah mencapai satu tahap kehidupan yang memuaskan. Hakikatnya mereka tidak dapat melihat dengan mata hati, sesungguhnya apa yang disajikan umpama makanan lazat yang mampu mengundang pelbagai penyakit.

Apakah pengajaran yang benar-benar dapat dijadikan asas kehidupan oleh para penonton, pendengar dan pembaca media massa? Adakah dengan mengetengahkan isu gejala sosial secara berleluasa dapat memberi kesedaran yang benar-benar meresap ke dalam jiwa anak-anak muda sehingga memberi keinsafan dan rasa takut untuk melakukan gejala tidak sihat? Tepuk dada, tanyalah selera.

Separuh hari yang dilalui murid-murid di sekolah bagi memahami erti ilmu serta hakikat kehidupan, bagai dinafikan peranannya lantaran lambakan kesesatan hasil dakyah pihak media. Pendidikan agama dan moral dalam pembelajaran di sekolah bagaikan tidak memberi kesan positif. Iklan-iklan serta drama-drama sering kali memperlihatkan kepada anak-anak muda bahawa erti kehidupan terletak kepada wang ringgit, kemewahan dan taraf hidup yang tinggi semata-mata. Malah lebih menyedikan lagi apabila gejala pembuangan bayi, lepak, merokok dan ponteng sekolah semakin menjadi-jadi di kalangan remaja hari ini.

Fenomena ini amat bertentangan dengan sistem pembelajaran di sekolah yang memberi keutamaan pada keseimbangan dari aspek mental, fizikal mahupun spiritual. Tatkala guru di sekolah berhempas pulas mendidik anak murid agar menjadi anak bangsa yang mempunyai jati diri, ada ‘guru’ di luar sekolah yang membangsatkan anak murid! Ianya merupakan satu pembaziran kerana anak-anak ini merupakan aset yang bakal mewarisi kesinambungan pembangunan negara.

Amalan media massa yang hanya mementingkan rating program yang disajikan sehingga sanggup menyelitkan unsur-unsur negatif sebagai pelaris, merupakan taktik kotor yang meracuni minda anak-anak. Sedar atau tidak, pastinya warga pendidik mahupun ibu bapa terpaksa menempuh laluan sukar dalam membentuk modal insan di kalangan anak-anak lantaran kerakusan media massa menyumbat minda mereka terlebih dahulu dengan anasir-anasir negatif. Menyedari hakikat ini, maka tugas para guru tentunya menjadi lebih berat lagi.

Pencegahan di peringkat awal sewajarnya dilakukan bagi mengekang kebiadapan media massa yang merencatkan pencapaian kecemerlangan pendidikan. Namun, atas campur tangan politik, pengaruh wang dan kepentingan pihak tertentu kebejatan ini dengan rasminya ‘dihalalkan’ untuk terus bertapak kukuh dalam media massa. Senario seumpama ini juga jika dibiarkan tidak mustahil akan mewujudkan kepincangan dalam masyarakat yang boleh merugikan negara.


By,
Ainah.

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

0 comments:

Post a Comment