Budaya Blog

Kebebasan bersuara merupakan antara hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan negara seperti yang diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 10. Kebebasan bersuara umpama senjata yang berfungsi dua, untuk kebaikan atau keburukan. Budaya blog, kehadirannya bagaikan satu gelombang globalisasi yang memberikan kebebasan perkongsian maklumat tanpa btasan. Bagi golongan muda khususnya, menghabiskan masa dalam dunia maya begitu mengasyikkan dan menyeronokkan sekali. Eksplorasi baharu dunia maya inilah yang menjadi kegilaan masyarakat mutakhir ini.
Blog dicipta dengan pelbagai sifat dan tujuan misalnya sebagai catatan peribadi, liputan berita dan kupasan pelbagai isu. Di samping itu, blog yang bersifat spesifik juga tidak kurang banyaknya, seperti blog yang berkaitan dengan sukan, fotografi, hiburan, kesenian dan sebagainya. Lazimnya blogger akan memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk memberi komentar terhadap isu yang diketengahkan. Justeru itu, keadaan ini tentunya memberi peluang dan ruang untus semua orang berkongsi pendapat dengan dunia luar. Malah, kewujudan blog juga berupaya menjadi medium yang tidak kurang pentingnya dalam menyampaikan mesej dan maklumbalas daripada sesiapa sahaja.

Masyarakat hari ini ramai yang menyedari perkembangan blog merupakan satu akses terbaru untuk meluahkan suara sebagai seorang warganegara yang merdeka. Namun ianya dibayangi dengan faktor kepercayaan terhadap integriti media yang dianggap tidak mempunyai kebebasan. Media pada hari ini dianggap berpihak kepada kuasa autoriti. Sejauh manakah kebenarannya? Media sewajibnya bersifat telus, berkecuali dan meneruskan perjuangan bangsa yang merdeka. Senario sebegini memungkinkan masyarakat dunia memilih blog sebagai alternatif terbaik untuk meluahkan suara yang 'dikatakan tanpa sekatan'.

Penyalahgunaan blog dengan menyentuh isu-isu secara keterlaluan, mengaibkan dan sentimen perkauman yang semakin ketara mutakhir ini sewajarnya diambil perhatian. Kepesatan pekembangan telekomunikasi tidak akan memberi erti andainya ia akhirnya mewujudkan ketidaktenteraman, permusuhan dan perpecahan di kalangan masyarakat. Pelaksanaan Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya diharap mampu memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

by,
ainah.

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

0 comments:

Post a Comment