Budaya Blog

Kebebasan bersuara merupakan antara hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan negara seperti yang diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 10. Kebebasan bersuara umpama senjata yang berfungsi dua, untuk kebaikan atau keburukan. Budaya blog, kehadirannya bagaikan satu gelombang globalisasi yang memberikan kebebasan perkongsian maklumat tanpa btasan. Bagi golongan muda khususnya, menghabiskan masa dalam dunia maya begitu mengasyikkan dan menyeronokkan sekali. Eksplorasi baharu dunia maya inilah yang menjadi kegilaan masyarakat mutakhir ini.
Blog dicipta dengan pelbagai sifat dan tujuan misalnya sebagai catatan peribadi, liputan berita dan kupasan pelbagai isu. Di samping itu, blog yang bersifat spesifik juga tidak kurang banyaknya, seperti blog yang berkaitan dengan sukan, fotografi, hiburan, kesenian dan sebagainya. Lazimnya blogger akan memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk memberi komentar terhadap isu yang diketengahkan. Justeru itu, keadaan ini tentunya memberi peluang dan ruang untus semua orang berkongsi pendapat dengan dunia luar. Malah, kewujudan blog juga berupaya menjadi medium yang tidak kurang pentingnya dalam menyampaikan mesej dan maklumbalas daripada sesiapa sahaja.

Masyarakat hari ini ramai yang menyedari perkembangan blog merupakan satu akses terbaru untuk meluahkan suara sebagai seorang warganegara yang merdeka. Namun ianya dibayangi dengan faktor kepercayaan terhadap integriti media yang dianggap tidak mempunyai kebebasan. Media pada hari ini dianggap berpihak kepada kuasa autoriti. Sejauh manakah kebenarannya? Media sewajibnya bersifat telus, berkecuali dan meneruskan perjuangan bangsa yang merdeka. Senario sebegini memungkinkan masyarakat dunia memilih blog sebagai alternatif terbaik untuk meluahkan suara yang 'dikatakan tanpa sekatan'.

Penyalahgunaan blog dengan menyentuh isu-isu secara keterlaluan, mengaibkan dan sentimen perkauman yang semakin ketara mutakhir ini sewajarnya diambil perhatian. Kepesatan pekembangan telekomunikasi tidak akan memberi erti andainya ia akhirnya mewujudkan ketidaktenteraman, permusuhan dan perpecahan di kalangan masyarakat. Pelaksanaan Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya diharap mampu memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

by,
ainah.

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

Diri Penentu Kejayaan:

Melakar kejayaan dalam karier yang diceburi semimangnya menjadi impian setiap orang. Pun begitu, untuk mencapai kejayaan dalam hidup, usia bukanlah jadi kayu pengukur. Ada orang yang mampu mengecapi kejayaan di usia remaja lagi dan ada pula yang terpaksa menunggu sehingga usia mencecah separuh abad. Lebih indah lagi kadang kala, ada yang sudah berjaya bergelar jutawan seawal usia kanak-kanak lagi. Malah ada kalanya kejayaan itu mampu mengatasi pencapaian yang diraih oleh golongan dewasa.

Namun untuk bergelar insan yang berjaya, bukanlah semudah kata dan seindah bahasa sahaja. Paling tidak kita terpaksa menempuhi pelbagai cabaran. Dalam setiap profesyen yang dicebur pasti ada sahaja rencah yang harus diharungi. Diperlekehkan, dihina, dikecam dan sebagainya merupakan asam garam yang harus ditelan sepanjang kehidupan. Kata orang, sikap rajin dan amanah disulami dengan kejujuran, keikhlasan dan kecekalan hati adalah kunci pada kejayaan. Keyakinan dan kepercayaan kepada diri sendiri juga merupakan kriteria penting untuk meraih kejayaan hidup.

Zaman juga sudah semakin berubah. Persaingan semakin hebat, cabaran semakin hangat, kejayaan bagaikan dihambat demi kelangsungan hidup. Pasti sekali, tiada siapa yang kebal dari dirempuh badai kehidupan. Kekuatan mental, fizikal, rohani dan emosi mungkin mampu menjadi perisai untuk memagari diri. Apa yang pasti selagi jantung masih berdegup, selagi nadi masih berdenyut perjuangan hidup harus diteruskan. Kejayaan adalah milik sesiapa saja. Sikap diri adalah penentu segalanya.

by,
ainah

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

Berkongsi Tips

Menghilangkan kesan minyak motor

Gosokkan sedikit minyak tanah pada pakaian yang terkena minyak motor. Kemudian ambil sebiji limau nipis yang telah dibelah dua dan gosokkan pada bahagian yang berminyak. Selepas itu basuh seperti biasa dengan sabun pencuci kain dan bilas dengan air. Pakaian pasti akan kembali bersih seperti asal


Menghilangkan kesan dakwat

Titiskan sedikit cuka makan ke atas dakwat pada pakaian dan gosok selama beberapa saat. Kemudian basuh pakaian seperti biasa. Hasilnya pasti memuaskan.

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah memberi taufik dan hidayahNya untuk saya terus menghirup udara di bumi yang indah ini. Selawat dan salam semoga sentiasa dilimpahkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W. yang telah membawa umatnya daripada alam jahiliayah kepada alam yang terang benderang, penuh dengan maghrifah dan redhaNya. Meskipun terlalu banyak ranjau dan duri yang harus saya lalui selagi bergelar insan di bumiNya ini namun sewajarnya saya bersyukur kerana masih diberikan luang dan ruang olehNya untuk menikmati kehidupan dengan tenang dan penuh keinsafan. Di sebalik suka duka kehidupan yang saya lalui sesungguhnya ada lagi insan lain di luar sana yang lebih susah dan sulit keadaannya, malah ada yang sudah patah sayapnya sebelum terbang, terkulai jatuh sehingga tidak dapat bangkit lagi.

Ada kalanya deraian air mata, kesedihan dan rintihan yang mereka deritai bagaikan tiada siapa yang mengerti. Tiada seorang pun yang peduli. Mengapa? Kenapa?... Pastinya tiada yang peduli kerana orang lain begitu sibuk dibayangi kesenangan dan kemewahan sehingga mereka tidak bisa melihat di lembah yang dalam sekali, di dalam jurang yang tidak pernah mereka tempuhi, ada insan lain yang merintih, termangu dengan linangan air mata diiringi titisan darah lantaran kerakusan makhluk bergelar manusia...

Sebagai insan kerdil yang tidak punya apa, saya hanya mampu berdoa moga derita mereka akan lenyap bersama deraian air mata dan titisan darah yang mengalir ke muka bumi ini.

"Tekadku, akan ku sulam segala derita itu menjadi gubahan bangsa dan nusaku agar esok akan menjadi lebih bererti buat generasi pelapisku".

by,
ainah

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews