BATIK YANG KIAN MENYERLAH

Sejak dari zaman dahulu lagi ia memainkan peranan yang amat penting khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Dalam amalan biasa kain batik semimangnya menjadi pakaian utama kepada kaum wanita khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Batik terdiri daripada kain batik sarung dan kain batik panjang yang juga sinonim dengan panggilan kain batik lepas di kalangan masyarakat di Sabah.

Kain batik sarung sering dipadankan dengan baju kurung Kedah atau kurung biasa ataupun kebaya labuh, sementara batik panjang pula selalunya dipakai bersama baju kebaya singkat. Si pemakai akan kelihatan manis dan sopan sekali ketika menggayakan batik serba lengkap ini. Dalam kehidupan masyarakat Melayu Terengganu atau Kelantan pula, kain batik sering digunakan sebagai tenggolok di kalangan kaum lelaki semasa temasya silat dalam majis perkahwinan dan sumpamanya.

Lazimnya kain batik mempunyai pelbagai corak dan warna yang menarik. Pembuat batik menggunakan dua kaedah penghasilan batik iaitu batik cetak dengan menggunakan alat pencetak khas bagi menghasilkan corak yang serupa. Manakala kaedah kedua perlu menerapkan unsur-unsur seni dalam lukisan batik di mana corak batik ini dilukis sendii dengan tangan yang juga dikenali sebagai batik canting.

Batik canting lazimnya mempunyai corak yang berbeza bagi setiap batik yang dihasilkan berbanding batik cetak yang mempunyai corak yang sama. Keunikan dan keindahan batik canting menyebabkan permintaan terhadap batik ini semakin tinggi di kalangan para penggemar batik. Namun keindahan corak batik cetak juga tudak dinafikan cantiknya.

Pada hari ini batik mempunyai fungsinya yang tersendiri iaitu selain daripada dipakai oleh masyarakat Malaysia, batik kini telah menembusi pasaran antarabangsa sebagai salah satu perniagaan yang mampu menjana ekonomi negara. Sebagai langkah untuk menghidupkan industri batik negara, kerajaan telah membuat ketetapan supaya batik dipakai pada setiap hari Khamis di kalangan penjawat awam kerajaan semasa pergi ke pejabat. Syarat serupa turut digunpakai di sekolah-sekolah dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Selain itu batik sering digunakan pada majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan seperti majlis jamuan makan malam, majlis-majlis perasmian tertentu ataupun majlis meraikan kunjungan para pembesar negara. Dengan pendekatan ini dapat dilihat bagaimana besarnya peranan batik di kalangan masyarakat bukan sahaja kepada orang Melayu malah ia turut dipakai oleh semua kaum di Malaysia selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang diketengahkan pada hari ini. Keunikan ini turut dikongsi bersama oleh para pelancong yang turut menyarungkan batik ketika berada di negara ini. Malah fungsi batik semakin berkembang apabila para pelancong yang datang menjadikan batik sebagai hadiah kepada sanak saudara dan rakan-rakan di negara mereka.

Justeru, tidak mustahil suatu hari nanti batik mampu bertapak kukuh di persada antarabangsa denga pelbagai fungsi dan kegunaannya.

by,
Ainah.

Enter your email address:

dapatkan artikel terbaru dari kamiNews

0 comments:

Post a Comment